"Sesungguhnya didalam jasad manusia ada segumpal darah/daging, apabila segumpal darah/daging itu baik maka baik pula sekalian anggota tubuhnya serta perbuatannya, sebaliknya apabila segumpal darah/daging itu buruk maka buruk pula sekalian anggota tubuhnya dan perbuatannya"
Jarang orang bertanya pada hati sendiri.. “Wahai hati, sihatkah kamu..?” Sedangkan hati memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan kita..
Siapa yang tak mahu memiliki hati yang tenang kan? Hati yang tidak tenteram berpunca dengan adanya segumpal sifat-sifat mazmummah.
Mari kita periksa hati kita.. mari kita muhasabah diri kita.. adakah hati kita telah dikuasai oleh sifat-sifat mazmumah berikut?
1) Cinta Dunia
Cinta kepada hal-hal duniawi merupakan 'neraka dunia' kerana dunia itu 'panas' akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah hal-hal ukhrawi (akhirat) itu sebagai pegangan teguh selamanya dan hal-hal duniawi sebagai pentas sementara. Bila mati cuma ada amalan, doa anak yang soleh atau solehah dan harta yang disedekahkan mengiringi kita di sana.
Teringat akan kata-kata mutiara ini:
“Layakkah kita untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta kita pada Pencipta manusia itu masih belum mantap. Tepuklah dada tanyalah iman.”
Kebiasaannya, mereka yang berada di peringkat usia remaja dan sedang menginjak dewasa pasti akan di uji dengan perasaan dan persoalan hati.. dan tidak mungkin tidak pasti akan terjebak dengan perasaan kasih dan cinta kepada mereka yang bukan muhrim sekaligus meragut ketenangan dalam jiwa.. di saat ini, mujahadah dan iman yang kuat amat penting bagi menongkah dan melawan nafsu yang membujuk..
2) Tamak
Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan. Mereka yang tidak pernah puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak. Orang yang tamak selalu rugi.
3) Kedekut
Sentiasa melihat orang lain mahu menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Sentiasa mengelak dari menderma dan berdalih dengan mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk
4) Riak
Allah tidak menyukai akan sifat riak, takabbur dengan apa yang kita ada. Mereka tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika dia dipuji, dia akan gembira dan bermegah serta menjadi rajin bekerja tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan kerjanya.
5) Pemarah
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati senantiasa tidak tenang.
Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhundri r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Marah itu bara api maka siapa yang merasakan demikian, jika ia sedang berdiri makan hendaklah duduk, bila ia sedang duduk hendaklah bersandar (berbaring)."
Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhundri r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Awaslah kamu dari marah-marah, kerana marah itu bererti menyalakan api dalam kalbu anak Adam, tidakkah kamu melihat seseorang yang marah itu merah matanya dan tegang urat-uarat lehernya, kerana itu bila seseorang merasakan yang demikian hendaklah berbaring dan meletakkan badannya ditanah."
Sesungguhnya ada diantara kamu orang yang lekas marah tetapi juga lekas reda, maka ini seimbang dan ada yang lambat marah dan lambat sembuh (reda), ini juga seimbang, dan sebaik-baik kamu lambat marah dan cepat re;a. dan sejahat-jahat kamu yang cepat marah dan lambat sembuhnya."
6) Ego
Sentiasa merasakan dirinya sahaja yang betul. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Mereka tidak akan mengalah sekali-kali, jadi mereka senantiasa akan berada dalam keadaan tidak tenang dan tenteram hatinya.
Justeru, tanyalah diri apakah selama ini kita sombong atau tidak? Jika ternyata sombong atau ego, ubah sikap supaya diri disenangi orang lain. Amalkan sikap sabar kerana orang yang sabar
akan sentiasa merendah diri tidak mudah marah.
Untuk mendidik diri supaya tidak berlaku sombong atau ego dengan manusia dan Tuhan, ingatlah bahawa diri kita ini tidaklah sehebat mana. Sebenarnya kita ini diibaratkan seekor kuman di tengah padang yang luas tidak bertepi. Semoga kita tidak akan menjadi seperti Firaun yang sombong, angkuh dengan kemewahan dan kuasanya hingga melupai kuasa Allah. Akhirnya dia mati ditelan laut.
Sebagai renungan bersama, hayatilah sebuah hadis di bawah. Semoga kita insaf dan mendapat iktibar daripadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk neraka seseorang yang terdapat iman dalam hatinya walaupun seberat biji sawi; dan tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun seberat biji sawi.” (Hadis riwayat Muslim)
7) Pendendam
Perasaan yang membuku dan mengelapkan hati terhadap seseorang oleh kerana dia pernah melukakan atau malakukan kesalahan kepadanya ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk meletuskan laharnya iaini membalas dendam kepada orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.
8) Hasad Dengki
Mereka senantiasa berasa iri hati dan berhasad dengki kerana tidak mahu melihat kebahagiaan dan kejayaan orang lain.
9) Tidak Sabar
Tidak boleh menunggu dan sentiasa mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan orang lain. Selalu tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa berfikir panjang sehingga kadang kalanya menyusahkan orang lain.
Kata syaitan laknatullah...
"Ada 3 cara kami menyesatkan manusia... iaitu:
· Bakhil (kikir)
· Marah
· dan mabuk
Sebab manusia jika bakhil kami bayangkan kepadanya bahawa hartanya sangat sedikit sehingga ia sayang untuk mengeluarkan untuk kewajipan-kewajipannya, dan bila ia pemarah, maka kami permainkan ia sebagai anak kecil mempermainkan bola, meskipun ia dapat menghidupkan orang mati dengan doanya, kami tetap tidak patah harapan untuk dapat menyesatkannya, sebab ia membangun dan kami yang merobohkan dengan satu khalimat sahaja. Demikian pula jika seseorang telah mabuk, maka kami tuntun dengan mudah kepada segala kejahatan sebagaimana kambing dituntun sesuka kami."
Disini syaitan laknatullah telah menyatakan bahawa orang yang marah jatuh ketangan syaitan laknatullah bagaikan bola ditangan anak-anak kecil, kerana itu seseorang harus sabar supaya tidak jatuh dalam tawanan syaitan laknatullah dan tidak sampai gugur dalam perbuatannya."
PENGAJARANNYA…
Dalam persoalan ni, kita ada 2 pilihan.. sama ada mahu bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya memang akan membuat kita menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain, andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya.
"Hati orang mukmin itu tenang bila dia dilambung ombak ujian, kerana dia yakin mehnah itu kafarah, berasa bangga bila diuji, kerana baginya Allah sedang mengingatinya, berbicara dengannya lantas mempamerkan kasih cinta Sang Penguji"
Pesan Nabi Muhammad s.a.w...
"Mintalah fatwa (nasihat) pada hatimu, kebaikan adalah sesuatu yang membuat hatimu tenang dan keburukan adalah sesuatu yang membuat gelisah."
(H.R. Ahmad dan Ad Darimi)
Wallahualam bissawab. Moga bermanfaat.. (^_^)
p/s: artikel telah diedit dari artikel asal.. sumber: www.iluvislam.com.





0 comments