Pesan Buat Doktor Muda

Saya (berbaju batik) bersama wakil SPMM dan wakil pimpinan Medical Student Club 
"Cakap ustaz kadang-kadang orang tak terima, cakap doktor biasanya orang terima", saya berseloroh di hadapan adik-adik Tahun 1 dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Saya menyambung lagi, "Kalau ustaz kata rokok tu haram, orang tak dengar sangat. Kalau doktor kata rokok itu membahayakan kesihatan, siap tunjuk gambar dan fakta-fakta sains, orang akan gerun jugak"

Tugas doktor perubatan Muslim bukanlah semata-mata doktor kepada masalah fizikal dan internal organ semata-mata bahkan mereka juga adalah doktor kepada hati.

Hati yang 'sakit' dan perlukan makanan rohani.



Saya menekankan kepentingan perlunya 'doktor-doktor muda USIM' ini membentuk satu gelombang baru dalam dunia perubatan. Kita ingin melihat doktor yang mampu menjadi pendakwah dalam masa yang sama. Bagaimana?



Situasi 1
Seorang pakcik berjumpa seorang doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Setelah diperiksa, doktor pun berkata,"Pakcik ada sedikit masalah diabetes. Masih diperingkat awal. Saya akan beri ubat dan pakcik wajib makan mengikut masanya. Saya nak pesan kat pakcik ya, saya cuma beri ubat, yang sembuhkan pakcik adalah Allah. Banyakkan berdoa, semoga pakcik sembuh"



Situasi 2
Seorang kanak-kanak ke klinik kerana sakit gigi. Doktor memulakan bicara, "Gigi adik perlu dicabut. Tak banyak, cuma satu saja." Kanak-kanak kelihatan agak cemas namun dipujuk oleh doktor, "Tak ada apa-apa pun, tak sakit tau. Adik selawat banyak-banyak." Doktor memulakan tugasnya dengan membaca basmalah. Kemudian beliau bercerita kisah-kisah nabi dan para sahabat kepada kanak-kanak itu untuk mengurangkan gemuruh dan terlalu fokus pada rasa sakit. 



Mudah bukan? 



Walaupun mudah, itulah dakwah yang tinggi nilainya. Dakwah kepada akidah yang benar. Allah Maha Penyembuh, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Doktor bukanlah penyembuh, ubat bukanlah penyelesai segalanya. Doktor dan ubat cumalah usaha.

Jika diteliti melalui sirah nabawiyah, aspek akidah adalah aspek terawal yang dibawa oleh Nabi SAW. 


Menyebut tentang perkara ini, Saidatina Aisyah RA telah berkata,
"Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran yang pertama diturunkan ialah surah-surah pendek yang menyebut berkenaan syurga dan neraka. Sehingga selepas manusia benar-benar tertarik dengan Islam, barulah diturunkan ayat-ayat berkenaan halal dan haram. Kalaulah ayat pertama diturunkan ialah "Jangan kamu minum arak", nescaya mereka akan berkata: "Kami tidak akan meninggalkan arak selama-lamanya." Kalaulah ayat pertama diturunkan ialah: "Jangan kamu berzina", nescaya mereka akan menjawab: "Kami tidak akan meninggalkan zina selama-lamanya" (Riwayat Bukhari)



Tugas saya cuma menggantikan Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, saudara Farid bagi menyampaikan ucapan dan merasmikan dan serah kuasa program Liqa' SPMM kepada Medical Student Club USIM Pandan Indah. Beliau kini di Beijing, China.



Apapun, semoga barisan doktor muda ini bersemangat meneruskan pengajian mereka selama 6 tahun di Pandan Indah. Buktikan bahawa Islam itu bukan hanya di masjid, surau dan pondok. Islam itu syumul dan serlahkanlah kesyumulannya. Selamat berjuang doktor muda!


Artikel ini ditulis oleh Mohamad Razif bin Mohamad Fuad, Setiausaha Agung, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, USIM