Oleh Dr Zulkifli Mohamad AlBakri
Definisi IslamPengertian Islam dari segi syara’ pula ialah perlaksanaan serta kepatuhan kepada segala ajaran agama yang mudah diketahui, yang dibawa oleh Rasulullah SAW atau terdapat dalil yakin yang mentafsirkan pengertian Islam sebagaimana hadith Jibril, Jibril berkata: “Wahai Muhammad! Beritahu aku tentang Islam. Jawab Baginda:
الإسلام أن تشهد أن لاإله إلا الله وأن محمدا رسول الله ، وتقيم الصلاة ، وتؤتي الزكاة ، وتصوم رمضان ، وتحج البيت إن استطعت إليه سبيلا. وفي حديث إبن عمر : بني الإسلام على خمس
Maksudnya: “Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan ibadat haji ke Baitullah sekiranya kamu mampu.”
Sementara Hadith Ibn ‘Umar pula menyebut bahawa Islam itu dibina atas lima perkara iaitu:
i. Mengucap dua kalimah syahadah.
ii. Mendirikan solat.
iii. Menunaikan zakat.
iv. Berpuasa di bulan Ramadhan dan
v. Melakukan ibadat haji.
Jelas di sini menunjukkan bahawa Islam menunjukkan amalan yang zahir sedangkan Iman pula merupakan keyakinan dan iktikad yang jazim dengan segala rukunnya di samping hendaklah diamalkannya. Hal ini berdasarkan kepada takrif yang dikemukakan oleh para ulama’ berkenaan dengan Iman yang mensyaratkan dengan tiga perkara:
i. Iqrar dengan lisan.
ii. Tasdiq dengan hati dan
iii. Beramal dengan rukun atau anggota.
Ini menunjukkan bahawa rangkuman ketiga-tiga di atas sebagai keimanan yang sempurna di mana satu juzuk daripadanya iaitu yang ketiga yang mewakili amalan merupakan sebagai Islam. Justeru, dapat difahami bahawa hubungan antara Iman dengan Islam berdasarkan kepada kenyataan di atas adalah hubungan antara juz’i dan kulli.
Definisi AqidahAqidah merupakan paksi agama. Dengannya manusia selamat dari sebarang kegelinciran, syirik dan khurafat. Aqidahlah yang menjadikan seseorang itu benar-benar bahagia hidup di dunia dan di akhirat.
Di dalam Kitab العقيدة أولا لو كانوا يعلمون, Dr. Abd al-Aziz al-Qari, 9-10 berkata: Aqidah atau iktikad menurut bahasa diambil daripada kata akar ( (عقد ertinya menyimpul atau mengikat. Oleh itu, orang Arab berkata: (عقد الحبل) ertinya: Dia mengikat atau menyimpul tali. (عقد العهد) ertinya: Dia bersungguh-sungguh pada janjinya. (عقد اليمين) ertinya: Dia berpegang teguh dan setia pada sumpahnya.
Dr. Mustafa Khin dalam al-Aqidah al-Islamiyah berkata : “Daripada itu pengertian tersebut digunakan sebagai anutan seseorang terhadap pemikiran dan pendapat yang diimaninya dan meresap ke dalam hati sanubari yang akhirnya membentuk tindak tanduk dan tingkah lakunya. Justeru itu, ada pendapat yang mentakrifkan manusia sebagai makhluk yang boleh dipimpin dari dalam dirinya sendiri iaitu segala kepercayaan dan sesuatu yang diimaninya.”
Menurut kamus al-Misbah al-Munir, perkataan aku beriktikad demikian bermaksud aku menambat hati sanubari kepadanya dan perkataan aqidah bermaksud sesuatu fahaman yang dianuti seseorang sehingga dia mempunyai pegangan yang baik dan tidak diragui.
Daripada pengertian tersebut, dapat difahami bahawa tidak semestinya aqidah itu sahih barulah dinamakan aqidah. Hal ini kerana ada kalanya aqidah itu betul dan ia dinamakan aqidah yang sahih dan ada kalanya salah dan ia dinamakan aqidah yang cacat.
Menurut kitab Syarh Jam’u al-Jawami’, iktikad ialah sesuatu hukum yang kukuh yang boleh berubah, sama ada ia selari dengan keadaan sebenar ataupun tidak. Jika selari ia dinamakan iktikad sahih. Jka tidak ia dinamakan iktikad yang cacat.
Para ulama’ Islam menggunakan perkatan aqidah ini sebagai ilmu yang lazimnya bermaksud ilmu yang membahaskan perkara yang wajib dipercayai dan diimani oleh seseorang dengan dalil yang sahih dan meyakinkan. Aqidah juga dinisbahkan kepada prinsip-prinsip agama itu sendiri yang thabit dengan dalil yang kukuh.
Jadi aqidah atau iktikad menurut bahasa dapatlah diertikan dengan simpulan atau ikatan atau bersungguh-sungguh dan berpegang teguh. Atas dasar inilah maka timbullah istilah akad nikah, akad jual beli dan sebagainya. Adapun aqidah atau iktikad menurut istilah agama atau syara’.
Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: Aqidah ialah perkara-perkara yang wajib dipercayai oleh hati anda, diterima dengan tenang oleh diri anda dan diyakini oleh anda tanpa diselubungi oleh sebarang keraguan dan syak.
Definisi LiberalMenurut Kamus Dewan edisi keempat hal. 935, liberal bermaksud bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (misi menentang hak-hak istimewa kaum bangsawan) berfahaman bebas.
Liberalisme pula bermaksud fahaman yang liberal, fahaman atau pendirian yang mahukan demokrasi serta kebebasan dalam kegiatan ekonomi.
Konsep liberal sebenarnya muncul semasa meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perjuangan kaum pekerja menerusi slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite) dan persaudaraan (fratenite) telah menjadi prinsip bagi penyingkiran kekuasaan. Menurut H.Gruber, prinsip liberalisme yang paling asas ialah “Contrary to the natural, and inalienable right and liberty and dignity of man, to subject himself to an authority, the root,rule,measure, and sanction of which is not in himself.”
Falsafah liberalisme kemudiannya dikembangkan oleh beberapa pemikir, antaranya John Locke, Hume, Rousseau, Diderot, Lessing dan Immanuel Kant. Sebelumnya fahaman ini menjadi bahan motivasi penting kepada falsafah eksistensialisme atau nihilisme yang dikembangkan oleh Nietzche. Istilah liberalisme adalah berasal dari bahasa Latin, iaitu liber. Istilah ini membawa makna bebas atau merdeka.
Pada penghujung abad ke-18, iaitu sejak permulaan Revolusi Perancis, istilah ini mempunyai kaitan dengan konsep manusia merdeka. Konsep merdeka ini dilihat dalam konteks kebebasan, sama ada kebebasan yang diperoleh sejak lahir ataupun setelah dibebaskan daripada belenggu kekuasaan atau perhambaan.
Definisi Islam LiberalDalam laman Web JIL (Jaringan Islam Liberal) mereka menafsirkan diri mereka sendiri dengan berkata :
Nama Islam Liberal menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anuti, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas. Liberal di sini membawa dua maksud, iaitu kebebasan dan pembebasan. Kami percaya bahawa Islam selalu ditempel dengan kata sifat, sebab pada hakikatnya, Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keinginan penafsirannya. Kami memilih satu jenis tafsiran dan dengan demikian satu kata sifat diberikan terhadap Islam, iaitu Liberal.
Daripada gabungan perkataan di atas, kita dapat merasakan seolah-olah aliran Islam Liberal ingin menyandarkan diri kepada Islam. Namun, dalam masa yang sama, tidak mahu terikat dengan prinsip-prinsip Islam atau ingin bebas daripada kekangan aqidah, ibadah, muamalat dan akhlak Islam.
Objektif Islam LiberalAntara matlamat Islam Liberal ialah kesamaan mengikut fahaman akalan masing-masing. Pertubuhan Islam Liberal ini ditubuhkan dengan tujuan melawan kebangkitan agama seperti ekstremisme dan fundamentalisme yang membimbangkan mereka. Maksudnya, gerakan ini cuba menjawab isu-isu yang selalu dibangkitkan oleh kelompok Islam Militan yag menggunakan istilah jihad, menerapkan syariah secara menyeluruh, amar makruf nahi mungkar dan sebagainya.
Objektif utama JIL boleh dirumuskan kepada empat perkara berikut:1. Mengukuhkan kedudukan demokrasi melalui fahaman pluralisme, inklusivisme dan humanisme.
2. Membangunkan agama atas dasar menghormati perbezaan agama.
3. Menyebarkan dan memperkenalkan agama dengan lebih terbuka dan berperikemanusiaan.
4. Menghalang orang awam terpengaruh dengan pandangan-pandangan agama yang lebih kepada kekerasan.
Dengan kata lain, pergerakan ini lebih berunsurkan Islam. Islam perlu diberi tafsiran baru dan terbuka selaras dengan perkembangan zaman dan kemodenan. Umat Islam mestilah memberi respon yang positif kepada pergerakan ini ke arah yang lebih mantap dan profesional. Oleh itu, mereka perlu lebih bertolak ansur dan mengadakan perbahasan dan perbincangan meluas dengan pelbagai pihak. Ini kerana, manusia diberikan akal dan pemikiran yang terbatas dalam sesuatu perkara. Mustahil umat Islam mampu memenuhi apa yang sepatutnya dilakukan selaras dengan pluralis agama dan netralitas negara mudah diterima oleh masyarakat.
Isu yang dibangkitkan oleh Islam LiberalDalam kertas kerja Islam Liberal menurut al-Quran dan al-Sunnah oleh Prof Madya Dr. Fauzi Deraman dan Prof. Madya Mohd Kamil bin Abdul Majid, menyebut isu ynag diutarakan berkaitan teologi dan ibadah. Antaranya feqah tradisi, menghina Allah SWT dan Rasulullah SAW, Pluralisme agama (kepelbagaian agama), syariat dan sumber-sumbernya. Antara kenyataan mereka ialah :
1. Korban pertama daripada penerapan syariat ialah wanita.
2. Islam Liberal boleh membentuk negara sekular sebab negara sekular boleh membawa kebaikan dan menghalang kemaksiatan dalam satu masa.
3. Mushaf Uthmani adalah tulisan kaum Quraisy terhadap al-Quran dengan mengabaikan sumer-sumber mushaf yang lain.
4. Proses itu (pembukuan Mushaf Uthmani) masih meninggalkan sejumlah masalah, sama ada dalam penulisan teks mahupun pemilihan bacaan yang kita warisi dewasa ini.
5. Larangan berkahwin kerana perbezaan agama antara wanita dan lelaki bukan Islam adalah tidak relevan.
6. Tafsir-tafsir al-Quran yang terdahulu tidak lagi memberi makna dan fungsi yang jelas dalam kehidupan umat.
Kenyataan tanpa asas dan hujah yang kukuh ini memberi tanggapan serong terhadap Islam. Sedangkan hukum Islam datang daripada Allah SWT yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui.
Hukum Islam LiberalPersatuan Ulama’ Malaysia (PUM) hari ini menggesa Majlis Agama Islam negeri-negeri supaya menguatkuasakan fatwa untuk menangani fahaman Islam Liberal.
Fatwa tersebut dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaaan dalam persidangannya kali ke-74 pada 25 hingga 27 Julai 2006.
Yang Dipertuanya, Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, fatwa tersebut hendaklah dikuatkuasakan supaya fahaman Islam Liberal tidak menjejaskan perpaduan ummah yang telah lama terbina di Malaysia.
Di Negara jiran, katanya seperti Indonesia, fahaman tersebut telah difatwakan sebagai haram kerana ia menyeleweng dari asas Islam dan landasan syariat yang sahih. “Jika ia tidak ditangani, kita khuatir masa depan umat Islam di negara ini akan terumbang-ambing, terkeliru dalam perjalanan hidup mereka, lantaran serangan pemikiran liberal yang mencengkam”, kata Syeikh Abdul Halim dalam teks ucaptamanya di seminar pemikiran Islam peringkat kebangsaan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi.
Di sini dinyatakan keputusan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia yang dikeluarkan pada 25-27 Julai 2006 dalam Muzakarah Kali ke-74:
i. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek aqidah dan syariah seperti berikut:
Aspek Aqidah
• Berpegang kepada konsep pluralismeKonsep pluralism adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralism agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti yang Agung.
• Akal manusia adalah wahyuAliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
• Meragui ketulinan al-QuranAliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya, Nabi Muhammad SAW yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidaka ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.
Aspek Syariah• Mempersoalkan methodoligi pentafsiran al-Quran dan al-HadithAliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang diguna pakai kini. Dengan slogan “Membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”. Aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan ahli Sunnah wa al-Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari Akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
• Menggesa tafsiran baru konsep ibadatAliran pemikiran ini juga membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
• Mempertikaikan kriteria dan akhlak kenabianAliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat nubuwwah yang dimiliki Rasulullah SAW, dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seseorang manusia ke atas manusai lain (leadership value). Justeru, sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yag baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut Baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi dalam realiti.
• Sikap terhadap ilmu-ilmu IslamIlmu-ilmu Islam seperti Usul al-Fiqh, Usul al-hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hokum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan islam melalui tafsiran semula ajaran Islam
• Sikap terhdap hukum Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.
ii. Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.
PenutupAl-Syahid Hasan al-Banna berkata:
Pegangan aqidah manusia berbeza-beza bergantung kepada sejauh mana sesuatu dalil difahami dengan jelas dan bertapak kukuh dalam diri mereka.
Syed Ali Tantawi berkata:
Majoriti kaum Muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan agama ini, mereka berada dibelakang umat-umat yang lain,mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam (menghina Islam). Sehingga Jamaluddin al-Afghani atau Muhammad Abduh menyebut perkataan yang hebat, iaitu Islam terlindung oleh penganutnya.