MAHASISWA MENOLAK PERKAUMAN BERBAUR UGUTAN



Meniup semangat perkauman perangai jahiliyah.

Tanggal 13 mei melihat rakaman sejarah berdarah iaitu rusuhan kaum 13 mei 1969, igauan ngeri yang berlaku di ibu kota kuala Lumpur suatu ketika dulu. Mengambil iktibar daripada tragedi tersebut, SPMM menyeru supaya kita menjaga sebaik-baiknya perpaduan antara kaum supaya tragedi itu tidak akan berulang lagi, moga igauan ngeri akan kekal menjadi mainan mimpi.

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk dia menjadi Arab, Melayu, Cina atau India. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Islam mengajar kita untuk menjaga hubungan sesama manusia tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Ini menunjukkan betapa perpaduan, sama ada sesama Muslim atau sebaliknya, merupakan satu perkara yang penting dalam pandangan hidup Islam.
sebagaimana Allah berfirman:-
           
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).Hujurat:13


SPMM menyelar sebarang perbuatan meng’api-apikan’ perkauman yang dimainkan oleh sebahagian pihak yang berniat jahat kemungkinan boleh menggugat kestabilan dan perpaduan rakyat malaysia yang berbilang kaum. Sentimen perkauman adalah satu perkara yang amat sensitif dan boleh memecahbelahkan perpaduan dan membantutkan pembangunan negara. Kita perlu sedar, agama Islam tidak pernah mengajar kita untuk bersikap sedemikian.

Melihat kembali usaha Rasulullah saw untuk mewujudkan negara islami, baginda cuba menerangkan kepada Arab Jahiliyyah supaya membuang semangat fanatik perkauman yang terlalu mengagungkan kabilah masing-masing, namun apabila kabilahnya jelas melakukan kezaliman, ia tetap dengan pendirian bahawa kabilahnya yang betul. Hari ini, ini golongan yang cuba meniupkan api perkauman dan cuba memecahbelahkan perpaduan di Malaysia tiada beza dengan perangai arab jahiliyyah.

SPMM berharap supaya kita berpegang dengan seruan tuhan, kembali menghayati nilai-nilai islam, serta buanglah perangai jahiliyyah ini kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip dan nilai-nilai islam yang menitikberatkan perpaduan dan kesatuan walaupun kita berbeza warna kulit, bangsa dan agama. Salam muafakat dan perpaduan, sekian terima kasih.
“Mahasiswa anti-rasis”

Mohd Amin Suhaimi
Naib Presiden (Penerangan) SPMM 2012/13
Universiti Sains Islam Malaysia