Perhatian Muslimat USIM: Kursus Pengurusan Jenazah (KPJ '11)


LATAR BELAKANG

Kematian merupakan satu ketetapan yang hakiki yang akan menimpa ke atas semua makhluk. Berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud :

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan bahawa pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya, dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kemudahan dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.

Berdasarkan ayat ini, adalah wajar bagi setiap umat Islam sentiasa mengingati mati dan berusaha memperbanyakkan amalan untuk menghadapi alam yang kekal abadi selama-lamanya iaitu Alam Akhirat. Sehubungan dengan itu, adalah penting bagi mereka yang masih hidup untuk mencari dan memiliki ilmu-ilmu agama secukupnya. Manakala apabila seseorang itu meninggal dunia, jenazahnya perlu diuruskan dengan sepatutnya dan hukum menguruskan jenazah adalah fardhu kifayah bagi orang yang hidup di sesebuah kawasan.

Sehubungan dengan itu, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia mengorak langkah dengan menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah 2011( KPJ’ 11) dengan kerjasama Biro Pembangunan Insan Kolej Kediaman Satu (JAKSA KK1). Tujuan utama kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mahasiswi USIM khususnya dan masyarakat awam umumnya tentang kewajipan menguruskan jenazah dan cara-cara melaksanakannya. Peserta kursus juga akan didedahkan dengan kaedah-kaedah pengurusan jenazah serta berpeluang untuk mempraktikkan segala teori yang telah dipelajari.

OBJEKTIF


Memberikan pengetahuan dan pendedahan kepada para peserta kursus tentang kewajipan menguruskan jenazah dan cara-cara melaksanakannya.

Memperincikan setiap sudut permasalahan sama ada teori mahupun praktikal dalam pengurusan jenazah wanita.

Memantapkan lagi ilmu-ilmu asas agama dengan mempraktikkan ilmu-ilmu praktikal dan seterusnya melahirkan mahasiswa-mahasiswa yang berpengetahuan tinggi tentang ilmu agama.

Kursus ini dijalankan untuk mengeratkan lagi ukhwah silaturrahim antara ahli-ahli kelab serta peserta-peserta kursus.

HASIL PEMBELAJARAN


Pelajar berkebolehan mengenal pasti dan menganalisis masalah dalam situasi kompleks dan kabur, serta membuat penilaian yang berjustifikasi (CTPS1).


Pelajar berkebolehan membina hubungan baik berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang sama (TS1).

Pelajar juga akan berkebolehan mengembangkan minda ingin tahu dan dahagakan ilmu (LL3).

Pelajar juga berkebolehan mengamalkan sikap beretika, di samping mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat (EM3).