Madrasah Al-Qaradhawi: Suburkan Budaya Cinta Ilmu


Firman Allah SWT di dalam surah al-Jum’ah, ayat 2 mafhumnya :
“Dan Dia telah mengutuskan seorang Rasul yang ummi, mengajarkan bacaan kepada mereka ayat-ayatNya, dan mensucikan (tazkiyah) diri mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al-kitab dan Al-Hikmah….”
Rasulullah SAW pernah bersabda, mafhumnya :
Barangsiapa yang dikehendaki Allah ke atasnya kebaikan, maka akan dikurniakan kefahaman dalam beragama (tafaqquh fiddin)


Menjadi tunjang kepada sesebuah agenda dakwah meletakkan al-quran dan as-sunnah sebagai rujukan utama dalam menentukan halatuju sebuah gerak kerja. Bertitik tolak daripada firman Allah dan kalam rasulNya, SPMM sekali lagi mengorak langkah dalam membangunkan akan dan jiwa insan dengan menubuhkan satu gagasan ilmu yang baru, dijenamakan dengan nama Madrasah Al-Qaradhawi.

Dengan  tema “Membina Pewaris Insan Rabbani”, Madrasah Al-Qaradhawi (MAQ) ini berperanan sebagai wadah menyuburkan biah ilmiah dan islamiah khususnya di kampus USIM. Secara asasnya, MAQ berusaha mengumpulkan para ilmuan untuk mencurahkan ilmu kepada para anak didik khususnya mahasiswa/I dalam satu halaqah ilmu. Apa yang menarik, pengajian ini bukanlah seperti kuliah maghrib atau kuliah subuh yang biasa, kaedah pengajian yang diadakan akan menggunakan kitab-kitab aduan kitab turath (tradisional) dan juga mu’asir (terkini) secara talaqqi.

SPMM mengambil kira faktor kepelbagaian pengajian di bumi USIM ini, justeru setiap pengajian cuba diselaraskan dengan kadar kefahaman dan pemikiran sebagai seorang mahasiswa yang punyai hemah dan jiwa yang tinggi untuk memahami Islam secara lebih mendalam. Tambahan, kuliah yang diadakan secara terbuka ini mampu mengumpulkan masyarakat kampus dan berkongsi isu yang boleh dikupas oleh para ilmuan yang berkaliber.

Selain itu, SPMM cuba mengorak langkah ke hadapan dengan mengadakan diskusi ilmu yang melibatkan kepimpinan SPMM bersama dengan mahasiswa/I lain. Dengan berkonsepkan ‘usrah’ dan ‘sembang santai’, Niqash Ilmi ini bertujuan untuk mensuburkan budaya berfikir dan  berkongsi idea berkenaan isu semasa, bidang keilmuan masing-masing dan pelbagai lagi. Insya Allah, Niqash Ilmi ini akan bermula pada 8 Mac ini di KK1 sebelum bermulanya iftar dan SPMM membuka peluang kepada semua mahasiswa/I untuk bersama-sama dalam program pada hari tersebut.

Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, dan boleh terus merujuk laman web SPMM :www.myspmm.org atau di facebook Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia.
SPMM | Bringing You to The Way
Muhammad Farid Hadhari Mahamed Rusdi
Presiden  SPMM USIM 2011/2012