Aluan buat mahasiswa Tamhidi 2012/2013


Assalamu'alaikum wbt dan ucapan Selamat Datang, Ahlan Wa Sahlan buat seluruh pelajar baru Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Sesi Akademik 2012/2013 yang telah pun berjaya mendaftar diri bagi kemasukan ke USIM pada 23 Mei 2012 yang lepas.

Syukur dan Tahniah buat adik-adik yang telah berjaya memasuki USIM seterusnya menjadi salah seorang yang akan mewarnai USIM. Selamat melangkah kaki ke alam kampus dan selamat menyambung pengajian di universiti.

Alam kampus berbeza dengan alam sekolah. Adik-adik akan lebih berdikari, masa yang mungkin agak padat, suasana kuliah dan kelas yang mungkin sedikit atau agak berbeza. Walaupun mengalami perubahan suasana, ingatlah batas-batas dan had dalam usaha menyesuaikan diri dengan suasana kampus.

Saidina Ali pernah berkata, "Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi pemandu untuk nafsunya dan menjadi kapten untuk bahtera hidupnya."

Kekalkan biah dan suasana islami sebagaimana yang anda pernah kecapi di sekolah. Hidup dan imarahkan surau kolej kediaman yang anda bermastautin sekarang, Kolej Kediaman Nilam Court. Selalulah menghadiri majlis-majlis ilmu dan membantu aktiviti-aktiviti kerohanian dan peningkatan jati diri di kolej kediaman mahupun di kampus.

Saban tahun, penuntut datang dari pelbagai negeri untuk meneruskan pengajian, menambah ilmu. Usah gusar adik-adik, belajarlah bersabarlah dalam meraih ilmu dan menguruskan diri walau berjauhan daripada keluarga.

Imam As-Syafie pernah mengungkap, "Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."

Semoga adik-adik tergolong dalam insan yang betul-betul mahu memanfaat ilmu. Dalam usaha menuntut ilmu ini, jagalah akhlak, peribadi, batas-batas pergaulan dan sesuaikan suasana tanpa meminggirkan had dan batas-batas yang telah digariskan oleh Islam. Ilmu itu perlu dijaga, jangan sesekali campurkan ia dengan hak dan batil, agar keberkatan dan kerahmatan mengiringi sepanjang perjalanan ini. Warnailah USIM dengan keizzahan Islam.


photo of Geng Kartunis USIM



Akhirnya, selamat menuntut ilmu. Siru 'ala Barakatillah.


"Bringing you to The Way"
www.myspmm.org