Kenyataan Rasmi SPMM Berhubung Isu Mahasiswa Islam di Mesir

Kenyataan Rasmi Presiden SPMM Berhubung Isu Pembuangan Mahasiswa Mesir.

Presiden SPMM 2011/2012 Al-akh Farid Hadhari

Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) Universiti Sains Islam Malaysia selaku badan dakwah kampus mengambil berat akan isu yang telah melanda mahasiswa jurusan pengajian Islam di Mesir mutakhir ini. Sebagai sebuah badan dakwah dan tarbiyah sekaligus menjadikan prinsip-prinsip Islam sebagai teras dan intipati persatuan, SPMM melihat isu ini harus ditangani dengan langkah yang bersifat lebih profesional dan meraikan hak mahasiswa Islam sebagai aset berharga kepada agama, bangsa dan negara.



Umum mengetahui isu yang telah melanda dunia mahasiswa di bumi Mesir. Seorang mahasiswa Islam, Saudara Mohd Firdaus bin Mazlan, penuntut di sebuah institusi pengajian terkenal;-Dar Al-Ifta telah diberhentikan daripada pengajiannya, menyebabkan beliau tidak dapat menerima ijazah pengajiannya. Beliau yang sudah 3 tahun menuntut di institusi berkenaan sepatutnya menerima ijazah pada tahun ini gagal mendapat pengiktirafan berkenaan. Pembuangan mahasiswa itu telah dibuat oleh Kedutaan Besar Malaysia Keherah (KBMK) beberapa hari yang lepas.

Maklumat yang diterima menunjukkan bahawa saudara Firdaus diberhentikan daripada pengajiannya tanpa sebarang notis awal oleh pihak kedutaan. Tiada amaran atau surat tunjuk sebab dinyatakan sebelum mengeluarkan keputusan yang dilihat melulu dan kurang profesional itu. Malahan, ruang perbincangan tidak dimanfaatkan antara pihak kedutaan dan mahasiswa Mesir.

Di sini SPMM melihat antara kelompangan yang berlaku dalam membuat keputusan yang begitu drastik. Seharusnya prosedur yang tersusun, profesional dan matang perlu dijalankan dalam membuat sebarang keputusan yang memberi kesan kepada mahasiswa dalam jangka masa panjang. Perbincangan dan rundingan dua hala antara mahasiswa dan pihak kedutaan perlu diadakan bagi mengelak sebarang penafian hak mahasiswa dan penganiayaan yang tidak sewajarnya berlaku. Prinsip keadilan dan menunaikan hak menjadi inti utama dalam membuat keputusan ini supaya tidak ada pihak yang teraniaya dan rugi dalam isu ini.

SPMM terpanggil untuk memberi respon kepada isu ini dalam kapasiti sebuah badan dakwah yang mendokong prinsip keadilan sebagai prinsip asas kepada syariat islam, serta menyatakan kebersamaan dalam isu yang melibatkan masa depan mahasiswa islam untuk negara Malaysia. Selaku badan dakwah yang mempunyai visi dan wawasan yang tinggi dalam mencorak masyarakat di malaysia ke arah masyarakat bersifat Al-Abrar, SPMM melihat satu kerugian akan dialami apabila penafian hak seorang mahasiswa Islam tidak dibela. Tambahan, mahasiswa Islam keluaran Al-Azhar dan Dar Al-Ifta sudah banyak menyumbang jasa kepada pembangunan pendidikan islam di negara Malaysia khususnya.

Justeru, SPMM mengharapkan isu ini dapat ditangani secara adil dan saksama, serta mendatangkan manfaat kepada golongan mahasiswa terutamanya mereka yang terlibat dalam pengajian Islam ini dalam misi mendokong kepentingan Islam dan masyarakat sejagat.

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum kepada manusia, maka berhukumlah dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi sebaik-baik pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar dan sentiasa Melihat"
(Mafhum surah Al-Nisa, 58)


"Bringing you to The Way"
Muhammad Farid Hadhari Mahamed Rusdi
Presiden
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM)

-kenyataan peribadi beliau boleh dirujuk di sini.