Menggapai Bahagia Ramadhan



“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183)

Alhamdulillah, bersyukur kepadaNya kerana kita masih dipertemukan dengan bulan Ramadhan. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini memberi makna buat kita seterusnya membuahkan manfaat untuk kita kembali kepadaNya. Ayat di atas meninggalkan satu perkataan yg menjadi intipati utama puasa Ramadhan.

Taqwa.

Apakah yang boleh difahami dengan taqwa?
Tafsiran Taqwa
Saiyidina Umar pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang taqwa, lalu Ubay berkata

“Bukankah engkau pernah melintasi jalan yang berduri?”“Betul” kata Saiyidina Umar.

Ubay bertanya bertanya kembali, “Apa yang engkau lakukan ketika melintasinya?”

Umar menjawab, “Berhati-hati.”

“Itulah taqwa,” jawab Ubay.

Apabila ditanya kepada Saiyidina Ali tentang erti taqwa, ini yang dilontarkannya,

“Takut kepada Tuhan Maha Perkasa, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, bersedia bagi hari yang dia berangkat menuju kepadaNya dan redha dengan perkara sedikit yang diberi oleh Allah.”

Definisi Puasa
Dari sudut bahasa: Menahan diri daripada sesuatu samada kata-kata atau makanan.
Dari sudut syarak: Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat

Disyariatkan ibadah puasa pada bulan Syaaban, Tahun Kedua Hijrah dan ia difardhukan secara khusus pada bulan Ramadhan. Puasa mempunyai nilai kelebihan pahala dan latihan diri bagi orang yang beriman dan menghayati amalannya dengan sempurna.

Puasa Dari Perspektif Tasawwuf
Imam al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tingkatan iaitu:

1.    1.Puasa al-Umum iaitu menahan diri dan kemaluan dari syahwat makan, minum, bersetubuh dan lain-lain yang membatalkan puasa.

2.   2. Puasa al-Khusus pula adalah sebagaimana Puasa al-Umum dan ditambah dengan menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan lain-lain anggota dari segala perbuatan dosa.

3.   3. Puasa Khusus al-Khusus iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Hikmah Puasa
Merujuk kepada kitab al-Fiqh al-Manhaji, saya menyimpulkan beberapa hikmah puasa. Antaranya:

1.   1. Ibadah puasa yang sempurna yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh mampu menjana sifat muraqabah (merasakan diri dalam pengawasan Allah SWT).
2.    2. Kekenyangan yang berterusan akan mengeraskan hati dan menyuburkan sifat malas. Kedua-dua sifat itu adalah sifat yang tidak boleh ada pada seseorang hamba yang mencari redha Ilahi.
3.  3. Puasa mampu menghubungkan silaturrahim antara dua darjat. Kaya dan miskin, tua dan muda, yang biasa kenyang merasai kelaparan orang yang biasa berlapar. Puasa mampu menimbulkan perasaan mahabbah sesama Muslim dalam membentuk ukhuwah Islamiyyah


Aa    Artikel ini ditulis oleh Mohamad Razif bin Mohamad Fuad, Setiausaha 1, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia. Laman beliau boleh dilawati di http://raziffuad.blogspot.com