Bengkel Kartunis D' ART 2011

























Alhamdulillah, pada hari sabtu yang lepas bersamaan 24 September 2011, satu bengkel iaitu Bengkel Kartunis D'Art 2011 anjuran Geng Kartunis SPMM USIM telah berjaya diadakan. Bengkel yang dihadiri seramai 23 orang itu telah diadakan di Dewan Kuliah Sederhana (DKU) 1.1 bertempat di Fakuliti Syariah Undang-Undang (FSU) bermula pada pukul 8.30 a.m. sehingga 5.00 p.m.



Objektif utama bengkel ini ialah mendedahkan peserta dengan teknik melukis dan mewarna menggunakan aplikasi komputer, meningkatkan kemahiran peserta dalam mengembangkan karya kreatif mereka dan menghasilkan karya dengan cara yang lebih menarik dan efektif, melatih daya pemikiran kreatif dalam menghasilkan karya dakwah, membantu mempelbagaikan metod dakwah agar diterima oleh semua lapisan masyarakat dalam dan luar kampus dan tidak lupa juga untuk menerapkan Tasawwur Islam melalui dakwah siber dan ilustrasi dengan kemahiran yang dimiliki.



Tetamu jemputan kami pada bengkel kali ini terdiri daripada kartunis Sahabat Al-Fityan PMRAM yang diwakili oleh Ustaz Farid Rashidi, Ustaz Mohamad Naqib Mohd Bakhudin, serta Ustaz Mohd Rushdi Tahiruddin. Pengisian bengkel ialah dimulai dengan Slot ‘Teknik Asas Melukis’ , diikuti dengan ‘Teknik Melukis Latar belakang’ dan ‘Teknik Asas Mewarna’. Bagi mengakhiri bengkel, pihak tetamu jemputan memberikan hadiah bagi peserta terbaik dalam melengkapkan lukisan masing-masing.

Secara tuntasnya, bengkel ini merupakan bengkel lukisan yang pertama di USIM dan dijangka akan diteruskan dengan bengkel yang seumpamanya pada masa akan datang. Oleh yang demikian, bagi ahli Geng Kartunis SPMM atau sesiapa yang terlepas, bolehlah menyertainya pada waktu lain. Pihak kami berharap dengan terlaksananya bengkel ini dan seumpamanya, Geng Kartunis SPMM mampu berdiri setanding dengan kartunis-kartunis tanah air serta dapat menghasilkan komik yang berkualiti, bukan sahaja dari segi isi, malah dari segi


persembahannya. Semoga gerak kerja dakwah melalui komik, bukan lagi sekadar angan-angan, malah menjadi realiti di bumi USIM.

Sekian, Terima Kasih.

Disediakan oleh,




Siti Ruqaiyah Binti Md Yusof,
Setiausaha Bengkel D’Art,
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM),
Universiti Sains Islam Malaysia.