SPMM Selar Karikatur Utusan Malaysia Hina Hudud



Nilai, 29 Sept-
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM menyelar tindakan 'sambil lewa' Utusan Malaysia dalam menerbitkan karikatur yang jelas mempersendakan hukum hudud.



Karikatur Utusan tersebut jelas mempersendakan hudud apabila menggambarkan seorang lelaki yang memakai serban sedang berbaring mendengar muzik yang mengeluarkan bunyi 'hudud' dan terdapat di sisi lelaki yang digambarkan tersebut album lagu yang tertulis 'Hudud'.

SPMM secara tegas menyatakan bahawa ia bukanlah satu etika yang bermoral dan jelas membawa kepada persendaan terhadap hukum Allah.



"Isu yang kita ingin fokuskan di sini adalah persendaan akhbar tersebut terhadap hukum Allah iaitu hudud. Soal politik, kita ketepikan seketika. SPMM berharap agar isu hudud yang kini hangat diperkatakan tidak dijadikan bahan lawak kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam yang juga mewakili majoriti rakyat Malaysia malah Islam juga diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan", ujar Setiausaha Agung SPMM, Mohamad Razif bin Mohamad Fuad berhubung isu ini ketika dihubungi.


Justeru, SPMM menuntut agar Utusan Malaysia agar lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang menyentuh sensitiviti agama yang seterusnya membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.