Ilmu dan Pendidikan; Dimana Silapnya?



Pertama kali saya diminta untuk menyiapkan kertas kerja berkenaan dengan isu pendidikan di Malaysia. Senak perut dibuatnya. Selayaknya, kertas kerja yang begitu bernilai tajuknya ini perlu dikendalikan oleh mereka yang 'ahli' dalam bidangnya. Kalau inginkan ilmu kedoktoran, pasti bukan nelayan yang menjadi pilihan. Dan kalau ingin mengetahui ilmu di lautan, maka ilmu kedoktoran menjadi sia-sia sahaja.

Tanpa sebarang huraian objektif, hanya berbekalkan nama tajuk sahaja. Sejumlah buku dicapai untuk ditekuni semampu mungkin. Bantuan seorang sahabat saya memudahkan lagi laluan untuk menggali lautan ilmu ini, walaupun kami ketiadaan masa yang banyak. Falsafah pendidikan merupakan 'mainan'nya di dalam pengajian, digabungkan dengan minda fiqh dan usul dalam kerangka minda saya, menatijahkan hasil yang serba sedikit memberi cetusan untuk manusia; paling tidak untuk diri saya.




Menfokuskan pembentangan kepada skop institusi pendidikan tinggi sahaja, setelah diteliti sisi perjuangan Muhammad Abduh yang telah menghabiskan sejumlah masanya untuk islah al-azhar, ungkapannya yang cukup masyhur : "memperbaharui Al-Azhar adalah sama dengan memperbaharui dunia Islam". Sudut pandang Syed Naquib Al-Attas juga cenderung melihat institusi yang paling penting ialah di universiti, dalam kerangka sistem pendidikan kerana daripadanya bermula revivalisme (kebangkitan) dan pembentukan semula pendidikan, epistemologi dan sudut pandang islam.

Saya meletakkan asas wahyu sebagai pedoman yang paling penting untuk membentangkan isu pendidikan ini, daripada surah al-jum'ah ayat ke-2. Berbekalkan ketiga-tiga aspek yang difokuskan dalam ayat tersebut- membaca ayat-ayat Al-Quran, proses 'tazkiyatunnafs', dan pembelajaran Al-Kitab dan Al-Hikmah; sudah cukup menjelaskan arah tuju, konseptual, dan kelemahan yang berlaku di dalam pendidikan islam di Malaysia, khususnya di universiti.

Jika disoroti secara realiti, terdapat beberapa kelemahan yang jelas dilihat melalui aspek luaran dan juga dalaman, dan saya cenderung untuk melihat aspek dalaman yang perlu diberi perhatian serius.

Kelemahan Pendidikan Islam Di IPT.

Kelemahan pendidikan islam di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) semakin membarah, sama ada dari sudut epistemologi sehingga pelaksanaan pelajaran dan pembelajaran (P&P). Walaupun Malaysia telah mempunyai Falfasah Pendidikan Negara (FPN-1987) dan Falsafah Pendidikan Islam (FPI), namun kesemua itu telah dipinggirkan mutakhir ini. Malahan, pengsekularan ilmu menyebabkan kesalahfahaman mahasiswa terhadap nilai ilmu yang hakiki. Pemikiran sempit dan pengotakan ilmu ini telah membataskan Islam kepada kerangka kurikulum dan pedagogi matapelajaran pendidikan islam. Malahan yang lagi teruk, masih ada kampus-kampus yang tidak mendapat pendedahan secara langsung mengenai asas-asas aqidah dan syariah. Sekaligus, menghapuskan definisi ’Islam sebagai cara hidup yang sempurna’. Secara halus, pegangan akidah islam yang sebenar semakin pudar dan hilang.

Kedua, penyakit psiko-sosial yang membelenggu majoriti mahasiswa sekarang. Bilamana pendidikan menjadi alat mobilasi sosioekonomi individu dan negara, memberi impak negatif apabila dominasi pemikiran seperti ini bersarang dalam mentaliti mahasiswa. Seperti yang diistilahkan oleh Syed Naquib Al-Attas dengan istilah 'diploma disease', pendidikan menjadi mangsa untuk meraih sesuatu gelaran pendidikan bukan kerana kepentingan pendidikan itu sendiri, melainkan keran ekonomi dan sosial.

Penyakit inilah juga membunuh intelektual mahasiswa yang sepatutnya memanfaatkan ruang di IPT sebagai last bastion untuk mencerna lautan ilmu dan epistemologi islam yang sebenar. Impak yang dapat dirasai agak ironis- kemarau intelektual di tengah kebanjiran graduan. Bahkan, saya secara peribadi berasa malu memegang kalimah 'mahasiswa' yang kononnya punya idelisma yang tinggi.

Sedangkan minda intelektual itu bukan pada tingginya pangkat sarjana yang dipegang. Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual ialah dunia idea, dialong, wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Sekalipun terdapat wacana kritis, ia hanya dianjurkan oleh persatuan mahasiswa, bukan dikendalikan pembentangan kertas kerja dan dialog itu oleh minda intelektual mahasiswa. Faktor kehilangan otonomi dan menjadi korban politisasi merupakan rasional yang boleh diterimapakai.

Itu diantara aspek luaran yang sememangnya wujud sehingga sekarang.
Sekadar itu sahajakah?
Pastinya kelompangan yang nyata ini perlu dikembalikan kepada pengomen dan pengkritik ini, iaitu mahasiswa baik secara individui mahupun kelompok. Sikap blaming others danbangauisme sepatutnya dielakkan daripada muqaddimah lagi.

Bersihkan diri dari sikap reaktif. Kita ialah generasi Y, generasi proaktif.

Melalui pembacaan, pemerhatian dan pengalaman, cukup untuk saya katakan bahawa mahasiswa suka hidup dalam suasana sekarang ini, yang dipopularkan dengan istilah comfort zone. Keselasaan hidup di kampus merupakan pembunuh nombor satu intelektual manusia- permasalahan sikap dalaman.

Mahasiswa masih selesa, walaupun hidupnya dibebani dengan PTPTN.
Mahasiswa masih selesa, walaupun sehari demi sehari masalah moral dan sosial membarah.
Mahasiswa masih selesa, walaupun masih jahil membaca kitab-kitab arab dek kerana terjemahan melayu menjadi peneman, sedangkan mereka bakal mengisi ruang mufti dan ustaz.

Asalkan dapat makan, minum dan tidur, maka bersikap 'qanaah'lah kita!

Kita tidak boleh lagi menyandarkan kepada desakan luaran. Gerakan inside out perlu segera menjadi agenda bertindak.Allah tidak akan mengubah nasib diri, jika kita hanya menjahilkan diri daripada ilmu dan pembudayaannya.

Mulakan yang paling mudah, dengan memperkasakan pembacaan. Budaya membaca merupakan wahana penting memacu pembudayaan intelektual. Mungkin perlu waktu dan ruang lain untuk kita huraikan tentang budaya ilmu ini.

Sudah-sudahlah dengan nota slideshow yang hanya bernilai 70sen, mulalah buka buku dan kitab yang harganya cukup untuk makan sebulan itu.
Mimpikan sahaja untuk menjadi imam atau mursyidah pilihan, kalau ilmu hanya ada dimaktabah syamilah dan iPad sahaja.
Pedulikan perjuangan membebaskan diri dari AUKU, membela hudud, kalau al-quran dan sunnah pun tak pernah nak dijenguk apatah lagi diamalkan.

Silapnya banyak, namun mulakan pembaikannya daripada diri sendiri.

Sekian dari saya, seorang pejuang reformis pendidikan.