Perutusan Aidiladha SPMM 2011/2012




Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Allahuakbar, walillahilhamd.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa'kan ke hadrat Allah, Tuhan seisi langit dan bumi, yang menguasai tiap-tiap sesuatu dan tidak ada yang terlepas daripada IlmuNya.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w di atas setiap keringat dan tawakal serta mahabbah dari baginda, nikmat Islam, Iman dan ruh jihad sampai kepada kita, umat Islam sehingga ke hari ini. Bersinarnya dunia bukan sahaja kerana mentari merah di langit, akan tetapi sinar di atas sinaran itu datang daripada dakwah mahabbah Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya yang mulia, semoga rahmat ini sentiasa bertapak dalam sanubari umat islam.


Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Saban tahun umat islam merai dan merayakan dua hari kebesaran di dalam Islam, iaitu aidilfitri dan aidiadha. Sepertimana diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan An-Nasai daripada Anas, hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, sedangkan mereka sibuk bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah. Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha"

Semoga amal kebaikan kita di dalam dua bulan dan hari yang mulia ini diberkati Allah dan diterima olehNya, dan tidak dikotori oleh unsur-unsur 'kemeriahan' yang menjauhkan diri daripada meraih keredhaanNya.

Tatkala hari yang mulia (aidiladha) datang berkunjung, maka peristiwa yang sepatutnya kita tekuni dan fahami ialah peristiwa bapa sekalian nabi, Ibrahim a.s dan keluarganya yang tercinta, khususnya anakanda Baginda yang mulia, Ismail a.s. Saban tahun, kisah ini pasti menjadi bahan tulisan, khutbah, dan ceramah para alim dan ustaz, tinggal lagi diri sendiri untuk menilainya, samada kita bersyukur ataupun kufur (dengan nikmat yang ada).

Penyerahan dan Pengorbanan (Tadhiyah)

Di dalam sejumlah ibrah serta pedoman yang boleh diambil daripada baris sirah Nabi Ibrahim a.s, disini saya ingin menekankan tentang dua aspek penting yang sewajarnya diberikan perhatian khusus, terutama kepada pendakwah (du'at), mahasiswa dan umumnya masyarakat setempat; berkenaan dengan 'penyerahan' dan 'pengorbanan'.
Di dalam surah as-saafat (83-84), Allah SWT berfirman:


"dan di antara golongan yang mendokong (dakwah Nuh) ialah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa 'qalbu saleem'.

Ayat ini berkenaan dengan kisah Ibrahim a.s di dalam misi mencari kebenaran, perjuangan diri baginda dalam membersihkan kesyirikan kaumnya, sebagai rasul dan khalilullah.

Apa yang ingin diberikan perhatian ialah pada kalimah 'qalbun saleem'. Kita memahami bahawa tidak ada satu kalimah walaupun huruf di dalam Al-Quran yang sia-sia, kerana setiap daripadaNya pasti punyai hikmah yang tersendiri.

Kalimah yang digunakan ialah saleem (sejahtera). Dalam bahasa arab, perkataan ini berasal daripada kalimah Sa-Li-Ma, yang boleh membawa maksud : selamat, atau penyerahan. Di dalam menta'rifkan perkataan 'Islam', Said Hawwa dalam kitabnya "al-islam" mengatakan bahawa islam ialah "al-istislam (penyerahan) dan keterikatan kepada syariat yang diturunkan oleh Allah SWT.....

Secara ringkasnya, di antara sifat hati yang sejahtera ialah hati yang sentiasa menyerahkan dirinya kepada Allah SWT, dalam setiap tindak tanduk kehidupan. Hati yang sejahtera juga suci daripada syak dan prasangka.

Nabi Ibrahim merupakan insan agung yang punya hati sejahtera, dan baginda jugalah khalil Allah.
Kerinduan untuk bertemu anakanda ismail a.s, setelah sekian lama tidak berjumpa dengannya, diuji dengan permintaan yang pada hari ini disifatkan 'tidak masuk akal'.
Permintaan untuk dikorbankan anakandanya itu!
Namun, semuanya tenang menerima arahan tersebut. Si ayah yang luhur hatinya, tidak sedikitpun mempersoalkan arahan tersebut. Apatah lagi, Ismail a.s juga tenang menerima permintaan tersebut. Semuanya diserahkan kepada Allah.

Ternyata kesemuanya itu didasari dengan keyakinan yang tanpa ragu, keutuhan kasih dan cinta kepada Allah, dengan segala penyerahan hanyalah kepadanya.

Kedua, kita dapat melihat satu bentuk pengorbanan yang amat tinggi diwatakkan dalam peribadi Ibrahim a.s serta Ismail a.s. Baginda a.s dipisahkan tatkala Ismail masih belum mengenal dunia. Sekembalinya daripada safar, baginda Ibrahim terus diuji untuk mengorbankan anakanda itu. Perpisahan yang diakhiri dengan perpisahan juga akhirnya. Pengorbanan itu ternyata tidak sia-sia, kerana janji dan kurniaan Allah nyata lebih diingini daripada semua itu.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Inilah kekurangan yang dialami oleh sebahagian besar umat islam, khususnya mahasiswa islam di mana-mana universiti sekalipun. Sifat penyerahan dan pengorbanan ini kurang, malahan gagal dihayati bersama samada di dalam pengajian, berpersatuan, serta perjuangan di kampus.

Kita gagal menyelami keadaan hati yang sejahtera, kerana hidup kita masih belum mampu untuk melupakan dunia 'mukabuku', asyik dengan perlawanan bola sepak, games yang sentiasa ada pasang surutnya. Kita asyik dengan kecintaan dunia.

Kita juga gagal mewatakkan diri dengan sifat para nabi, serta sahabat yang berjuang disampingnya. Sifat yang berkorban harta malahan jiwa sentiasa menyala-nyala dalam dada para salaf as-soleh. Usah kita bincangkan tentang perjuangan sehebat mereka, sikap mengorbankan masa untuk menekuni ilmu akhirat, korban harta untuk membeli bahan bacaan ilmiah dan magnum opus, korban tenaga bersengkang mata untuk dakwah kampus- itu pun belum kita fahami dan amalkan dengan berkesan.

Justeru itu wahai saudaraku sekalian, sudah tiba masanya kita menggerakkan kewajipan tertangguh yang banyak itu. Fahami perjalanan sirah mereka yang hebat dahulu. Bersempena dengan hari kebesaran Islam-Aidiadha ini, sama-sama kita berusaha untuk meletakkan hati kita sentiasa dibasahi dengan zikrullah, mengingati mati, agar hati itu berterusan tenang dan berhasil untuk mewatakkan diri dengan keadaan 'qalbun saleem'. Kita selami juga pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s serta Nabi Muhammad s.a.w, kerana hasil suka dan manis kita kecapi pada hari ini, merupakan duka, luka dan pahit mereka yang terdahulu. Selawat dan salam ke atas junjungan Mulia, Muhammad s.a.w.

Di kesempatan ini juga, saya mewakili barisan kepimpinan Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM sesi 2011/2012 mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, semoga dalam kesederhanaan meraikan sambutan hari raya ini, kita mampu meraih sejumlah keberkatan dan keredhaan dariNya. Teruskan membesarkan Allah dengan alunan takbir tanda kebesaranNya.

Allahuakbar, walillahilhamd.

SPMM,Bringing You to The Way.

Muhammad Farid Hadhari bin Mahamed Rusdi,

Presiden,

Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) USIM,

sesi 2011/2012.