MAULIDUR RASUL : SERLAHKAN KECINTAAN DENGAN TINDAKAN
Alhamdulillah, segala puja dan puji kepada Allah Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad SAW, para sahabat dan kaum kerabat baginda, serta yang bersama dalam perjuangan dakwah baginda hingga Hari Kebangkitan
Saban tahun, umat islam khususnya di Malaysia akan meraikan
sambutan kelahiran junjungan besar Muhammad s.a.w, penghulu sekalian nabi,
rasul dan manusia. Ceramah, perarakan, acara berselawat dan berzanji menghiasi
hari kelahiran baginda s.a.w pada 12 Rabi’ul Awal walaupun masih terdapat
khilaf (perbezaan) ulama dalam penentuan tarikh lahir sebenar. Namun perkara
itu tidaklah menjadi satu perbezaan sehingga boleh membawa perpecahan. Bahkan,
terdapat sebahagian masyarakat yang meraikan sambutan Maulidur Rasul di
hari-hari yang lain.
Secara
asasnya, sambutan Maulidur Rasul tidak menjadi pertikaian yang penting, namun
pada pandangan dakwah yang perlu diteliti ialah soal intipati ataupun maksud
sebenar yang ingin dicapai melalui setiap sambutan yang diadakan. Ini penting
untuk kita sama-sama perhalusi kerana kebanyakan daripada masyarakat melihat
bahawa sambutan Maulidul Rasul dari kacamata ‘tradisi’ dan ‘adat’ semata, bukan
daripada kacamata syariat yang sebenar. Kita banyak melihat kulit tanpa
mengetahui isinya. Maka, menonjolkan maksud (substance) sebenar lebih
penting berbanding menghiasi luaran (form) semata.
Di antara
intipati yang perlu diserlahkan di dalam mana-mana sambutan Maulidur Rasul
ialah melahirkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah serta perjuangannya
menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, seterusnya merealisasikan ububiyyah
dan konsep khalifah yang terulung di dunia. Kecintaan kepada Rasulullah sangat
penting kerana hanya dengan kecintaan kepada Baginda mampu untuk kita meraih
kecintaan daripada Allah sepertimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Bahkan,
mencintai Rasulullah merupakan pelengkap kepada keimanan seorang mukmin sejati.
“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah
aku (Muhammad) dicintai melebihi kedua orang tuanya, anak-anaknya dan semua
manusia lain”- (Riwayat Al-Bukhari)
Cinta bukan
hanya sekadar lafaz manis dibibir. Cinta juga tidak cukup sekadar imiginasi di
dalam minda. Apabila mengungkap persoalan tentang cinta, maka ia perlu
dizahirkan dengan tindakan yang bersifat ikhlas. Sebagai contoh mudah, kita
sering memerhatikan keasyikan pasangan yang sedang dilamun cinta sesama
manusia. Segalanya akan menjadi indah, bahkan manusia sanggup mengorbankan
harta dan masa demi menjaga cinta daripada suram dan padam. Apa yang boleh kita
simpulkan ialah: Cinta menuntut kepada pengorbanan.
Begitu
jualah tindakan yang perlu kita lakukan apabila kita mengisytiharkan kecintaan
kepada Rasulullah s.a.w Tidak cukup dengan hanya berselawat –walaupun inilah
perkara yang paling dituntut oleh Rasulullah,- namun di saat Islam dianggap
hanya sebagai hiasan di hari-hari kebesaran, hukum hakam diperlekehkan secara
besar-besaran, tatkala fitnah tersebar luas; maka kecintaan itu perlu
diserlahkan. Mahabbah (kecintaan) itu perlu diserlahkan dengan tindakan dan
pengorbanan.
Ini kerana
Allah memerintahkan melalui lisan Nabi Muhammad s.a.w supaya mengikut jejak
langkah Baginda, kerana hanya dengan mengikut jejak langkah Baginda, Allah akan
mengasihi dan mencintai hamba-hambanya yang beriman. Jejak langkah perjuangan
Nabi Muhammad pula bukan berehat di kediaman, jauh sekali menikmati hidangan
makanan yang enak. Jejak langkah baginda berwawasan akhirat, berpaksikan aqidah
perjuangan yang tulen dan memerlukan pengorbanan bukan sahaja harta malahan
nyawa.
Maka,
marilah sama-sama kita memulakan momentum kecintaan kepada Rasulullah dengan
tindakan yang realistic dan berkesan. Turunlah ke lapangan untuk mengenali masyarakat
setempat, cambahkanlah benih-benih dakwah di dalam hati masyarakat agar kembali
mengamalkan pedoman yang telah ditinggalkan oleh baginda s.a.w iaitu Al-Quran
dan As-sunnah. Semoga amalan yang kita lakukan ini merupakan bukti kecintaan
kita kepada Rasulullah, dan akan bersama baginda kelak di bawah syafaatnya.
Amen ya rabb.
"Bringing you to The Way"
Muhammad
Farid Hadhari Mahamed Rusdi
Presiden
Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) sesi 2011/2012