kerana dirimu ciptaan terindah


Siswi, Kerana Kau Ciptaan Terindah.. Jangan Kau Tundukkan Pandanganmu.


Selawat dan salam kepada junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Sejuta kesyukuran dipanjatkan pada Ilahi kerana atas izin-Nya, PENA yang di tangan anda kini, berjaya diterbitkan. Alhamdulillah, alhamdulillah, Alhamdulillah..
Pimpinan SPMM bagi sesi 12/13 telah mula mengorak langgkah. Membuka lembaran baru untuk terus mencabar diri mendepani kebobrokan ummah hari ini. Lalu, kami mengajak dan menyeru agar siswa dan siswi USIM turut melangkah bersama kami dan menyertai kami, dalam misi rahmatan lil ‘alamin, menyebarkan rahmat ke seluruh alam, bermula di USIM ini..
Buat siswi-siswi USIM,  sedarilah anda adalah aset penting varsiti. Dengan bilangan yang ramai, kita semua mampu mencorak arus universiti. Oleh yang demikian, pimpinan HELWA sesi 12/13 sangat memandang ke hadapan untuk melahirkan siswi yang celik tanggungjawab dan cakna isu kemasyarakatan juga isu ummah tentunya.
Oleh yang demikian, wahai siswi yang disayangi, jangan sesekali kau tundukkan pandanganmu. Jangan kau tundukkan pandangan pada kekalutan jiwa remaja di luar sana. Yang memerlukan perhatian dan sentuhan dari mereka-mereka yang berjiwa mendidik. Percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan dan hiburan yang melampau membawa kepada pelbagai masalah sosial. Seterusnya menjadi seakan bukan satu kesalahan bagi mereka untuk melakukan zina dan pembunuhan. Kes buang bayi yang semakin meningkat seharusnya menjadi kerunsingan bukan hanya pada pimpinan negara, ibu bapa, tapi juga siswi-siswi universiti. Siswiku, ini bukan masanya, untuk menundukkan pandangan, menuding jari dan menyalahkan orang lain, ini masanya untuk kamu, saya, dia dan mereka bekerja.
Kisah penderitaan di Palestin, Syria dan di Myanmar yang tak berkesudahan seharusnya turut dirasai oleh para siswi sekalian. Merasa bertanggungjawab untuk cakna akan isu ummah dan menyebarkannya pada orang lain. Oleh yang demikian siswiku, tidak seharusnya kamu terus menundukkan pandanganmu dan berpeluk tubuh. Pandang dan lihatlah mereka dengan jiwa yang simpati dan empati dengan kesedaran bahawa, ada tugas yang harus kita semua laksanakan untuk ummah ini.
Buatmu muslimah, tetapkanlah matlamat hidup, tekunilah ilmu dan jangan pernah lelah mendidik diri. Kerana Kau ciptaan Terindah.. Dirimu begitu Berharga.